KERAJAAN negeri Johor sudah meluluskan cadangan pembinaan rangkaian perkhidmatan tren komuter moden antara bandar bernilai RM1.23 bilion yang dijangka akan menarik minat 30 juta orang menggunakan kemudahan itu setiap tahun.
Cadangan pembinaan projek yang sebelum ini dikemukakan MCN kepada Kerajaan Persekutuan membabitkan operasi perkhidmatan rangkaian tren antara bandar di sekitar Iskandar Malaysia dan Singapura
Menerusi cadangan itu, MCN akan membina tujuh stesen baru dan 16 perhentian bagi menghubungkan semua pinggir kota utama di Iskandar Malaysia yang membabitkan rangkaian rel sepanjang lebih 100 kilometer.
Sistem tren berkenaan akan menyediakan perkhidmatan kepada semua kawasan pembangunan utama akan datang di Iskandar Malaysia seperti Johor Premium Outlet, Legoland Malaysia, Educity, Senai High Tech Park dan Lake Hill Resort City.
Mengulas mengenainya, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman Abdul Ghani, berkata pelaksanaan projek itu sejajar dengan sasaran yang ditetapkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan pelan tindakan pengangkutan Iskandar Malaysia.
“Perkhidmatan komuter itu sudah tentunya pelaburan yang tepat dan serentak dengan pembangunan kawasan utama Iskandar Malaysia pada 2012. Semua pembangunan komersial utama lain turut dijangka mendapat faedah daripada perkhidmatan komuter itu,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Johor Bahru semalam.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama IRDA, menjangkakan perkhidmatan komuter itu bakal meningkatkan lagi nilai hartanah di sepanjang cadangan laluannya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Ismail Ibrahim, berkata projek itu berupaya menyediakan perkhidmatan perantara dari JB Sentral ke Woodlands di Singapura.
Justeru, pihaknya komited untuk memastikan wujudnya sistem bas perantara yang cekap dan mencukupi bagi menyokong perkhidmatan rel antara bandar itu.
“Selain memberikan kesan ketara dalam pengurangan trafik di kawasan perniagaan komersial Johor Bahru dan Singapura, inisiatif ini juga akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.
Katanya, perkhidmatan rel itu dijangka menyediakan kesan limpahan yang besar, menjana beribu-ribu peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan, pembangunan hartanah dan runcit.
Pengerusi MCN, Datuk Abdul Halim Abdul Samad pula berkata, syarikat terbabit bakal melancarkan perkhidmatan tren antara bandar itu pada tahun depan, dengan jumlah penggunaan 19 tren tiga gerabak menjelang 2013 untuk menyediakan kepada keperluan rakyat.
“Saya gembira untuk menyatakan bahawa perkhidmatan tren komuter bertaraf dunia kita dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar RM1.63 bilion bagi tempoh 25 tahun.
“Hubungan itu yang disediakan menerusi perkhidmatan komuter akan datang direka bentuk agar ia berfungsi tanpa masalah dan persekitaran yang kondusif perniagaan,” katanya.
p/s: lepas ni kelua tak nak naik motor lagi:) heee
No comments:
Post a Comment